Operasi roboh setinggan Kampung Bakau ditangguh

KOTA KINABALU 15 Julai - Operasi merobohkan hampir 600 buah rumah setinggan di Kampung Bakau, Likas dekat sini oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ditangguhkan buat sementara waktu.

Ini kerana tindakan bagi membersih bandar raya daripada masalah setinggan itu menimbulkan bantahan penduduk terlibat.

Mereka juga menuntut diberi masa secukupnya untuk mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Jainab Ahmad.

Utusan Malaysia difahamkan mereka enggan berpindah kerana mendakwa penempatan semula di Telipok tidak menepati apa yang dijanjikan termasuk keadaan rumah baru yang tidak sempurna.

Pengarah Penguatkuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, operasi merobohkan rumah setinggan tersebut dilakukan dalam tiga fasa bagi merealisasikan setinggan sifar di negeri ini sekali gus mengelakkan pencemaran sungai.

Menurutnya, pada masa ini sebanyak 24 buah rumah dirobohkan termasuk 20 buah dilakukan sendiri oleh pemilik, manakala empat lagi dirobohkan oleh DBKK semalam.

"Kita bahagikan proses ini dalam tiga fasa iaitu dalam fasa pertama melibatkan rumah-rumah dikosongkan daripada 169 penduduk yang telah menerima tawaran berpindah ke kediaman baru.

"Dalam fasa kedua kita akan robohkan rumah yang menerima tawaran tetapi belum dikosongkan, manakala fasa ketiga melibatkan rumah-rumah yang belum menerima tawaran pada masa ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Operasi yang bermula pada Isnin lalu itu diketuai oleh Pembantu Penguat Kuasa, Mohd. Amir Izzat dan turut disertai 18 anggota penguat kuasa DBKK, dan 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Selain itu, operasi turut melibatkan empat kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd., tujuh anggota Jabatan Air Sabah, empat anggota polis, 12 anggota Imigresen dan dua anggota Jabatan Kesihatan.

Menurut Abdul Mukti, penduduk kawasan berkenaan yang dibanci sejak 2004 telah dihantar notis terakhir pada 2007 supaya berpindah.

Dalam pada itu, Jainab berharap penduduk kawasan berkenaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa demi kepentingan semua pihak.

Katanya, perpindahan itu dilakukan demi kebajikan masyarakat supaya mereka mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan bersih selain memastikan sungai berhampiran tidak tercemar.

"Penduduk akan dipindahkan di kawasan Telipok yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Institut Kemahiran Mara dan Institut Latihan Perindustrian.

"Bagi penduduk yang kurang mampu kerajaan akan memberi bantuan subsidi dan membenarkan mereka membuat bayaran secara ansuran," ujarnya.

4 comments:

Anonymous said...

katanya si Jainab...untuk kepentingan semua pihak..."semua pihak"????...atau hanya kepentingan peribadinya...janji yg di tabur hanya tinggal janji...lawat-lawat pengundi yg telah ko bawah pergi jauh dari periuk nasi mereka...

Anonymous said...

susah ni, di telipok ria tu, mo naik air di rumah pun susah tapi bilnya melambung..ndak fahamla aku apa maksud KESELESAAN yg ADUN kita ni ucakap...wahai ADUN kita,cubala pigi tengok sendiri keadaan di sana, pastu baru bagi komen..bukan niat mo salahkan sesiapa, tetapi sebagai pemimpin adalah wajar turun padang tengok kedudukan rakyat...contohilah Saidina Ummar al-Khattab yang sanggup keluar malam berjalan sendiri untuk melihat hidup rakyat..

Anonymous said...

ermmm sampai sekarang masalah air masih belum selesai...ada rumah yang ndak mo bayar bil air pasal air ndak mo naik tapi bilnya bukan main lagi.patutkah dorang ini disalahkan kalau ndak mo bayar bil?????Lu pikirla sendiri ADUN ku sayang..

Anonymous said...

Alhamdulillah...baru dapat berita air sudah ok...lepas dibawakkan TV3.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...