ARKIB BAKAU

Jainab Ahmad (kanan) berucap kepada penduduk setinggan Kampung Bakau yang rumah mereka dirobohkan awal bulan hadapan di Masjid Kampung Bakau, Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Kebajikan setinggan tetap diutamakan

KOTA KINABALU 18 Julai – Penduduk di Kampung Bakau, Likas, dekat sini dinasihatkan supaya tidak panik dan terpengaruh dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab berikutan operasi berterusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan rumah-rumah setinggan di kawasan berkenaan, sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Jainab Ahmad berkata, operasi tersebut hanya melibatkan mereka yang telah membayar deposit untuk penempatan semula di Telipok Ria.
Menurut beliau, kira-kira 100 keluarga telah menerima kunci rumah baru dan mereka perlu mengosongkan rumah lama masing-masing sebelum dirobohkan.
“Adalah tidak benar sama sekali mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak kejam untuk mengusir semua penghuni rumah setinggan ini sewenang-wenangnya.
“Kita telah membuat kajian mengenai masalah setinggan di Kampung Bakau sejak 2004 lagi dan rumah yang robohkan hanya melibatkan mereka yang menerima tawaran untuk berpindah ke rumah baru serta telah menerima kunci,” katanya.
Beliau mengulas aduan dan kebimbangan penghuni rumah setinggan di Kampung Bakau berikutan tindakan berterusan pihak penguat kuasa DBKK merobohkan rumah, manakala Jabatan Bekalan Air dan Syarikat Electricity Sdn. Bhd. memotong bekalan air dan elektrik.
Jainab yang juga Pembantu Menteri Perindustrian negeri berkata, daripada lebih 600 keluarga di kampung itu sebanyak 300 keluarga menerima tawaran tinggal di kawasan penempatan semula.
“Daripada jumlah itu, lebih 100 keluarga telah menerima kunci sementara yang lain belum membayar deposit dan kita memberi masa kepada mereka sebelum rumah yang didiami sekarang dirobohkan,’’ katanya.
Tambah beliau, sepatutnya lebih 300 keluarga lagi menerima tawaran perpindahan itu kerana jika lot rumah yang disediakan oleh kerajaan habis, tentu mereka yang rugi apabila tindakan merobohkan rumah setinggan terpaksa dilakukan.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati ada keluarga yang telah menerima rumah baru menyewakannya kepada orang lain dan terus tinggal di Kampung Bakau menyebabkan timbul masalah lain.
Jainab berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu menempatkan semula mereka ke kawasan yang lebih selesa dan jika ada yang berhadapan dengan masalah membayar deposit atau sewa rumah, mereka masih boleh mendapatkan bantuan melalui Pejabat Kemajuan Rakyat.
“Masalahnya ialah ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengelirukan penduduk di situ dengan mendakwa kerajaan bersikap zalim mengusir dan merobohkan rumah tanpa mengambil kira kebajikan penghuninya.
“Sedangkan kerajaan begitu berhati-hati dan memberi bantuan sebaik mungkin agar tidak ada pihak yang teraniaya dalam usaha kerajaan negeri mencapai matlamat setinggan sifar menjelang 2010,’’ katanya.

ArKib Utusan Malaysia  19/07/2008

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...