Siasat kebakaran di Kampung Lembaga Padi


KOTA KINABALU 19 Okt. - Polis diminta menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian kebakaran di Kampung Lembaga Padi, Inanam, dekat sini malam semalam, berikutan statusnya yang telah diperintah oleh mahkamah untuk dikosongkan kerana berada di atas tanah milik individu lain.
Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris berkata, pihaknya mendapat pelbagai rungutan di kalangan penduduk kampung, kononnya wujud unsur khianat dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau meminta penduduk kampung bersabar dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak polis untuk membuat siasatan secara menyeluruh.
"Kita tidak fikir wujud kes khianat dalam kejadian kebakaran ini kerana kemungkinan ia berpunca daripada kelalaian manusia.
"Namun apa yang lebih penting adalah semua mangsa selamat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, UMNO Bahagian Sepanggar sedang mengusahakan bantuan khususnya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah kepada mangsa yang terlibat.
Jumat yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sepanggar berkata, pihaknya memohon jasa baik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Daerah Tuaran (MDT) memberi kelonggaran agar mangsa kebakaran dibenarkan memasuki rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Telipok kerana semua mereka sepatutnya berpindah ke sana.
Beliau berkata, kebanyakan penduduk di situ dalam proses pemindahan, manakala sebahagiannya lagi belum lagi diuruskan.
Mengenai pembayaran wang pendahuluan, beliau berkata, perkara tersebut akan cuba diusahakan oleh kerajaan negeri.
Tambahnya, kesemua mangsa akan ditempatkan di Masjid Kampung Cenderamata Dua serta di Dewan Serbaguna Kampung Likas sementara menunggu urusan selanjutnya.
"Jumlah mereka yang terlibat terlalu ramai, kita jangka kedua-dua tempat ini tidak mencukupi serta tidak selesa untuk tempoh jangka masa lama. Sehubungan itu, saya mohon agar MDT menimbang membenarkan mangsa tinggal di Telipok Ria," katanya.
UMNO Bahagian Sepanggar turut meminta jasa baik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penderma prihatin tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka.
Menurutnya, pejabat UMNO Bahagian Sepanggar sentiasa membuka pintu untuk orang ramai memberi bantuan serta menempatkan barangan yang hendak disumbangkan, sebelum diagih-agihkan kepada mangsa kebakaran dalam tempoh terdekat.

2 comments:

Anonymous said...

TGK BETUL2 ITU AWAN....

Unknown said...

Cun la ..ajar sket cm mana mw edit blog..
- Cowok Ensem LpN - hehe

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...